CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Wednesday, September 26, 2007

Info Terbaru Pembunuh Nurin...

KUALA LUMPUR 26 Sept. - Polis menahan seorang lelaki berusia 41 tahun yang disyaki terlibat dalam pembunuhan dan penderaan seksual terhadap Nurin Jazlin Jazimin, 8, di Lebuh Ampang di sini hari ini.

Suspek itu, yang bekerja sebagai “orang tengah” di sebuah agensi pelancongan di bandar raya telah diajak oleh seorang rakannya ke sebuah kedai kopi di mana sepasukan polis menunggu untuk menahan lelaki itu.

Sumber polis berkata, serbuan itu dibuat selepas rakan suspek memberitahu polis bahawa suspek mungkin mempunyai kaitan dengan pembunuhan kejam Nurin.

Rakan suspek itu juga memberitahu polis bahawa lelaki yang disyaki itu mungkin terlibat dengan kes pencabulan dua kanak-kanak yang dilaporkan di Kampung Baru dengan menggunakan terung.

Difahamkan sebelum penahanan itu, rakan suspek telah meyakinkan suspek bahawa beliau mempunyai satu rancangan perniagaan yang perlu dibincangkan di kedai kopi itu.

Kira-kira pukul 2 petang, suspek tiba di kedai kopi itu dengan rakannya telah sedia menunggu.

Menurut rakan suspek, mereka pada mulanya membincangkan tentang usaha sama perniagaan sebelum menukar topik kepada perkara-perkara peribadi.

“Pada masa ini, saya menghantar SMS kepada sepasukan anggota polis berpakaian biasa yang menunggu di luar kedai kopi itu untuk bertindak.

“Lelaki berkenaan kemudiannya meminta saya menemui rakan perniagaannya dan mula berjalan ke arah sebuah bangunan yang terletak di seberang jalan.

“Pada saat inilah, saya menghubungi polis,” katanya di sini hari ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, masih terlalu awal untuk polis mengulas mengenai penahanan suspek.

Difahamkan suspek itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya untuk siasatan lanjut.

Pada 20 Ogos, Nurin Jazlin dilaporkan hilang oleh bapanya Jazimin Abdul Jalil, selepas keluar seorang diri untuk ke pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen 1 Wangsa Maju, di sini.

Di sebalik liputan meluas media dan usaha besar-besaran mencarinya, Nurin Jazlin tidak dapat dikesan.

Pada 17 September, mayat seorang kanak-kanak perempuan ditemui dalam sebuah beg sukan yang diletakkan di hadapan tangga sebuah rumah kedai di PJS 1/48, Petaling Jaya.

Hasil ujian DNA mendapati mayat itu adalah Nurin Jazlin dan bedah siasat mendapati mangsa juga didera secara seksual.

Suspek berkenaan, yang memakai baju kemeja lengan panjang berwarna biru dan berseluar hitam, membawa sebuah beg untuk bertemu dengan rakannya di kedai kopi itu.

Difahamkan lelaki itu yang berasal dari Segamat, telah bertunang dengan seorang penyambut tetamu di sebuah hotel di sini.

- Bernama

taken from In Memory of Nurin Jasline

0 orang memberikan pendapat: